Siaran Akhbar : Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 Mac. - Hari Wanita Antarabangsa, yang disambut pada 8 Mac setiap tahun, adalah peluang untuk mengiktiraf peranan penting serta meraikan sumbangan dan pencapaian wanita dan gadis di seluruh dunia.
Ia juga merupakan masa untuk merenung kemajuan yang telah dicapai dan mengesahkan semula komitmen bersama kita dalam memajukan pembangunan, kesejahteraan dan pemerkasaan wanita dalam semua aspek masyarakat.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menyatakan perkara itu dalam perutusan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2026.
Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam memperingati Hari Wanita Antarabangsa dengan tema 'Melindungi, Mengupayakan dan Memperkasa: Kemajuan Wanita dalam Masyarakat'.
Tema ini jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, mencerminkan komitmen negara untuk melindungi hak, keselamatan dan kesejahteraan wanita dan gadis, di samping memperluas peluang dalam pendidikan, pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat bagi memperkukuh kesiapsiagaan mereka menghadapi masa hadapan.
Pada masa yang sama, tema ini turut menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran yang menyokong kepimpinan, penyertaan serta sumbangan bermakna wanita dalam proses membuat keputusan merentasi pelbagai sektor masyarakat.
Tema ini dipilih selaras dengan keutamaan strategik yang dikenal pasti melalui Penyelidikan mengenai Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam, di mana Ringkasan Eksekutif kajian ini akan diterbitkan pada 12 Mac 2026, bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Keutamaan strategik ini tambah Yang Berhormat, yang akan menjadi teras utama Pelan Tindakan Wanita, mengukuhkan komitmen negara secara holistik dengan menekankan kepentingan melindungi keselamatan dan kesejahteraan wanita, mengoptimumkan potensi kerja wanita dan peluang pembangunan kerjaya; dan memacu pemerkasaan wanita dalam kalangan keluarga dan komuniti.
Yang Berhormat juga menambah kemajuan yang dicapai oleh wanita di Negara Brunei Darussalam hari ini mencerminkan pelaburan berterusan negara dalam pendidikan, pembangunan modal insan dan peluang yang saksama.
Menurut Gender Statistics 2024 of Brunei Darussalam, wanita merangkumi 47.2 peratus daripada jumlah penduduk, dan menunjukkan pencapaian pendidikan yang tinggi, dengan kadar literasi mencapai 96.1 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 10 tahun ke atas.
Penyertaan kukuh wanita dalam pendidikan ujar Yang Berhormat, dari peringkat menengah hingga ke peringkat tinggi, terus memantapkan lagi tenaga kerja masa depan dan saluran kepimpinan negara.
Penyertaan mereka yang semakin meningkat dalam pasaran buruh juga dicerminkan dalam peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh bagi wanita berumur 18 tahun ke atas, daripada 57.3 peratus pada tahun 2023 kepada 57.8 peratus pada tahun 2024.
Dalam sektor pendidikan, wanita membentuk sebahagian besar tenaga pengajar, terutamanya di peringkat pra dan rendah, yang menonjolkan peranan penting mereka dalam memupuk dan membentuk generasi akan datang.
Pencapaian ini jelas Yang Berhormat juga menyumbang secara langsung kepada aspirasi Wawasan Brunei 2035, untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang diiktiraf melalui pencapaian rakyatnya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kualiti hidup yang tinggi, serta ekonomi yang dinamik dan mampan.
Oleh itu, kemajuan wanita yang berterusan dalam pendidikan, tenaga kerja dan kepimpinan komuniti memainkan peranan penting dalam memperkukuh modal insan negara dan menyokong pembangunan jangka panjang Negara Brunei Darussalam.
Menurut Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam juga terus memperkukuh respons dasar dan institusinya dalam menyokong pembangunan dan perlindungan wanita.
Pada Julai 2025, dua Konsultasi Kebangsaan mengenai ASEAN Regional Plan of Action on the Elimination of Violence Against Women (RPA on EVAW) telah diadakan, melibatkan wakil daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, kesihatan, institusi agama, pendidikan dan organisasi masyarakat sivil.
Konsultasi tersebut menyemak kemajuan nasional dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan, termasuk prosedur antara agensi, penyelarasan data, kapasiti rumah perlindungan dan sistem pengurusan kes.
Selain itu, pada November 2025, Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perdana Menteri juga telah melancarkan Buku Garis Panduan Menangani Gangguan di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam di Negara Brunei Darussalam.
Usaha-usaha ini terangnya, mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh mekanisme perlindungan serta memajukan kesejahteraan dan pemerkasaan wanita.
Organisasi masyarakat sivil juga jelas Yang Berhormat lagi, memainkan peranan penting dalam melengkapkan usaha nasional melalui inisiatif pencegahan dan perkhidmatan sokongan bagi mangsa.
Antara inisiatif tersebut termasuklah Roundtable Discussions on Building Safer Digital Spaces to Prevent Online GenderBased Violence dianjurkan oleh Project Women Brunei pada Mac 2025 bagi memperkukuh kesedaran dan menggalakkan tindak balas bersepadu terhadap penderaan dalam talian.
Youth Protection Series 9.0: 'Safe Homes, Safe Hearts - Stand Against Sexual Harassment', yang dianjurkan oleh Syababul Iman pada November 2025 bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan gangguan seksual serta menggalakkan kewaspadaan dalam kalangan masyarakat.
'Mental Health Ambassador initiatives' dan 'art therapy workshops', dilaksanakan oleh Self Care Support Network sepanjang tahun 2025 bagi mempertingkatkan sokongan psikososial serta menggalakkan sikap untuk mendapatkan bantuan.
'Women's empowerment' dan 'family resilience programmes', dijalankan oleh Persatuan MAWAR pada tahun 2025 bagi memperkukuh kesedaran mengenai hak-hak wanita serta mekanisme perlindungan yang tersedia dalam masyarakat.
Sebagai penutup, Yang Berhormat turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita di Negara Brunei Darussalam.
Semoga para wanita terus melangkah maju dengan penuh keyakinan dan ketabahan, serta menyumbangkan bakat, kepimpinan dan dedikasi mereka dalam memperkukuh institusi keluarga, masyarakat dan negara.
Marilah kita sama-sama terus membina sebuah masyarakat di mana setiap wanita dilindungi, diberi peluang untuk merealisasikan potensi sepenuhnya, dan diperkasa untuk memainkan peranan yang bermakna dalam membentuk masa depan Negara Brunei Darussalam.